Seorang wanita dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah bersubahat membunuh suaminya lima tahun lalu.

Hakim Datuk Norcahaya Arshad berkata kes tersebut telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa Ling Hang Tsyr, 36, bersubahat dalam pembunuhan suaminya, Wong Jing Kui, 31, di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah pada 1.30 pagi, 14 Jun 2012.

"Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, disabitkan pertuduhan dan dijatuhi hukuman mati dengan digantung di leher sehingga mati," katanya.

Ling dilihat menundukkan kepalanya ketika hukuman dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Kerani bank bahagian pemulihan kredit itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan teman lelakinya, Tiong King Guan, 31.

Norcahaya berkata antara alasan bagi sabitan itu ialah Ling dan Tiong dilihat lebih daripada kawan biasa seperti yang dibuktikan melalui penghantaran khidmat pesanan ringkas atau SMS dan panggilan yang kerap dilakukan antara mereka.

Hakim berkata ini mengetepikan dakwaan tertuduh bahawa komunikasi antara mereka hanyalah sekadar hubungan antara pelanggan dan bank.

"Sekurang-kurangnya terdapat 20 SMS sehari. Tiada apa yang menunjukkan dia melakukan perkara yang sama kepada pelanggannya yang lain," katanya, dan menambah komunikasi yang kerap itu menunjukkan hubungan mereka bukan sekadar rakan.

Tertuduh pertama, Ling Hoe Ing, 28, telah didakwa dan disabitkan di bawah pertuduhan pilihan, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat selepas dia mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun pada 1 Okt 2013.

Norcahaya berkata tertuduh telah membantu dan bersubahat dalam pembunuhan itu dengan membantu menyalurkan maklumat mengenai pintu bilik tidur yang tidak berkunci kepada Tiong, yang kemudian mengarahkan Hoe Ing melakukan pembunuhan itu melalui SMS.

Beliau berkata pembunuhan itu dilakukan selepas mangsa meneruskan hasrat untuk menceraikannya.

Sebelum ini, Ling dan Tiong dilepas tanpa dibebaskan mahkamah atas pertuduhan bersubahat membunuh.

Bagaimanapun pihak pendakwaan mengemukakan rayuan pada 10 Feb 2015, di Mahkamah Rayuan dan pertuduhan terhadap mereka dikembalikan semula, iaitu atas pertuduhan bersubahat membunuh dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Tiong bagaimanapun sehingga kini masih lagi tidak dapat dikesan, sehubungan itu keluarga mangsa menawarkan ganjaran wang tunai RM50,000 kepada orang ramai yang berjaya menemuinya.

Ling yang diwakili peguam Roger Chin dan Lim Heng Choo memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dipindahkan ke Penjara Kuching dari Penjara Sibu, sementara menunggu rayuannya.

-- BERNAMA