Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) mencadangkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) supaya digantikan dengan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ahli jawatankuasa Datuk S.Ambiga berkata, cadangan tersebut bakal dikemukakan kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

"Kami melihat kepada kemungkinan IPCMC sebagai pengganti kepada EAIC atau kemungkinan untuk menyusun semula EAIC.

"Kami melihat kepada kedua-dua perkara ini dan kami telah hantarkan cadangan kemungkinan ini (kepada Majlis Penasihat Kerajaan).

Ambiga berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kerelevanan EAIC berikutan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat bertindih dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau ditemui di Menara Ilham di sini hari ini selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) bersama IRC.

Jelasnya, sejumlah tujuh cadangan reformasi telah dihantarkan kepada MPK setakat hari ini.