Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana warga asing yang berniaga di Batu Caves seperti maklumat yang diperolehinya daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khaiurul Dzaimee Daud.

Ujar Muhyiddin, sepasukan anggota Imigresen yang tiba di kawasan itu bagi menjalankan operasi mengesan warga asing yang menggunakan pas lawatan tetapi berniaga di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, kekecohan berlaku apabila sekumpulan lelaki cuba menghalang penguat kuasa Imigresen menjalankan tugasan mereka.

"Saya nak beri amaran tegas, soal pelakuan sebegini membawa kesan buruk kepada negara, aspek keselamatan sudah pasti tetapi juga mengganggu peniaga-peniaga tempatan dan sebagainya yang sah.

"Untuk menjalankan perniagaan mereka kerana orang asing yang tidak layak menjalankan perniagaan, yang saya dapat maklumat dibantu oleh orang tempatan. Jadi ini satu perkara yang memang seboleh mungkin kita nak elak daripada berlaku," katanya ketika ditemui media di Ipoh pada Sabtu.

Malah tindakan pasukan Imigresen itu menghentikan operasi mereka selepas kekecohan berlaku bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, mendapat pujian Menteri Dalam Negeri itu.

"Jadi dalam hal begini, bila pegawai sudah dapat maklumat nak menjalankan tugas, dia dihalang. Mungkin nak mengelakkan daripada timbul pergaduhan dan hal-hal yang boleh menyebabkan kecederaan maka perkara itu dihentikan oleh pegawai Imigresen kita sendiri.

"Jadi bermakna, kita akan terus pantau dan apa pun bentuk tindakan-tindakan yang sepatutnya kita lakukan, akan kita akan ambil tindakan selepas daripada itu," kata Muhyiddin

Video berdurasi 58 saat yang tular di laman sosial sejak semalam itu, antara lain memaparkan sekumpulan individu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa imigresen yang sedang bertugas dalam operasi di kawasan tapak perniagaan haram, dipercayai dikendalikan oleh peniaga dari India dan Pakistan di Batu Caves.

BACA: Tiada rusuhan berlaku di Batu Caves seperti yang ditularkan - Polis