Mahkamah Koroner Seremban hari ini menetapkan tempoh dua minggu bermula 24 Ogos depan sebagai tarikh inkues kematian remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin pada tahun lalu.

Koroner Maimoonah Aid turut menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh lawatan ke lokasi kejadian di sebuah pusat peranginan di Pantai, Seremban yang merupakan lokasi remaja perempuan berusia 15 tahun itu ditemukan selepas dilaporkan hilang.

Koroner Maimoonah juga membenarkan prosiding inkues itu diakses melalui kemudahan sidang video bagi membolehkan keluarga remaja itu yang berada di United Kingdom (UK) mengikutinya.

Pegawai penyelaras inkues, Muhamad Iskandar Ahmad turut mencadangkan supaya pihak keluarga mencari pelajar Malaysia di sana bagi membantu mereka memahami perjalanan prosiding serta keterangan yang diberikan saksi dan ia dipersetujui oleh koroner Maimoonah.

Selain itu, mahkamah memutuskan untuk memanggil seramai 64 daripada 102 orang saksi yang dikemukakan oleh Muhamad Iskandar.

Bagaimanapun, jumlah saksi boleh ditambah bergantung kepada keputusan koroner.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar akan menjadi saksi pertama bagi membantu inkues menentukan punca kematian remaja lembam itu.


Dalam pada itu, peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili keluarga Nora Anne mencadangkan untuk dikemukakan saksi tambahan iaitu seorang doktor forensik yang menjalankan proses bedah siasat kedua di UK bagi membantu inkues berkenaan.

Terdahulu, gadis lembam itu bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di Resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, Seremban pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos tahun lepas selepas 10 hari selepas dilaporkan hilang.

Pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah sekitar 2.5 kilometer (KM) daripada eko-resort itu.

Polis sebelum ini mengesahkan hasil bedah siasat mendapati remaja itu telah meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum ditemui, selain tidak terdapat sebarang unsur jenayah termasuk dakwaan dirogol.

Gadis itu disahkan mati akibat kebocoran pada usus berpunca kelaparan dalam tempoh yang lama dan hanya terdapat kesan calar kecil pada bahagian kaki.