“Sepanjang lima tahun bertugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ini merupakan kali pertama saya berdepan dengan ular tedung selar yang besar dan agresif seperti ini,”.

Itu merupakan pengalaman yang dikongsi anggota APM, Shahrul Azri Aziz selepas usaha menangkap reptilia itu di sebuah rumah di Napoh, Kubang Pasu di sini pagi ini.

Bagaimanapun kemahiran serta kecekapan dimiliki Shahrul Azri telah berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang enam meter dengan berat mencecah 28 kilogram.

“Haiwan itu besar dan agak agresif sikit selain bersembunyi di bawah himpunan zink. Reptilia yang agresif itu pada mulanya cuba menyerang dan mematuk sebaik sahaja pasukan APM mengangkat himpunan zink tersebut,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Shahrul berkata, ini merupakan pengalaman pertama berdepan ular tedung selar yang besar dan agresif.

Sementara itu, Pegawai APM Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, ular tedung selar itu akan diserahkan kepada Taman Ular Batu Pahat di Perlis.

Menurutnya, untuk rekod, kes tangkapan ular di daerah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 58 kes sejak awal bulan lalu.

“Sepanjang tahun lalu, APM berjaya menangkap sebanyak 623 pelbagai spesis seperti ular tedung senduk, tedung senduk tikus, rusuk kerbau, sawa burung dan ular kapak,” katanya.

Kesemua ular itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) dan Taman Negara.