BERMULA Jumaat, hanya di Masjid Negara dibenar melaksanakan solat Jumaat, solat berjemaah, solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya memaklumkan ia kerana masjid itu sahaja berada dalam zon hijau manakala Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih berada dalam zon kuning.

Selain itu, beberapa negeri juga turut melaksanakan peraturan sama, namun bersyarat.

Ini antara negeri dan kawasan yang turut membenarkan pembukaan semula masjid:


1. Wilayah Persekutan Kuala Lumpur / Putrajaya
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), memperkenalkan sistem giliran kepada semua pihak menunaikan solat berjemaah sama ada solat lima waktu, solat jumaat dan solat terawih di masjid dan surau terpilih.

Dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, terdapat 200 buah masjid dan surau untuk solat Jumaat.

Daripada jumlah itu, 25 masjid dan 31 suray dibenarkan beroperasi bermula Jumaat.


2. Selangor
Beberapa masjid memulakan solat Jumaat bersyarat yang terhad kepada 12 orang sahaja membabitkan ahli jawatankuasa masjid terlibat.

Antara masjid yang dibenarkan melakukan solat Jumaat ialah Masjid Negeri, Masjid Daerah dan Masjid DiRaja.


3. Pulau Pinang
Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di Masjid Negeri itu speanjang PKPB mulai 22 Mei ini.

Bagaimanapun ia hanya terhad kepada 12 hingga 15 orang Jemaah sahaja terdiri daripada pegawai masjid atau surau dan ahli jawatankuasa kariah serta siak.


4. Terengganu
Terengganu pula membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di negeri itu sepanjang tempoh PKPB bermula 22 Mei ini.

Namun, kelonggaran itu hanya membenarkan penggunaan satu masjid sahaja untuk satu daerah sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB.


5. Sarawak
Solat Jumaat hanya dibenarkan diadakan di masjid di seluruh negeri mulai 22 Mei ini, namun hanya empat orang dan tidak melebihi 12 orang jemaah sahaja.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, berkata kebenaran itu diberi dengan syarat tertentu yang harus dipatuhi oleh semua pihak pengurusan masjid dan surau.