Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan hukuman perintah khidmat masyarakat terhadap 'pesalah muda' yang didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Preside Peka, Datuk Paduka Zuhairi Ab Kadir berkata, hukuman itu dilihat lebih baik daripada 'dihumban' ke penjara untuk memberi peluang kepada mereka supaya tidak mengulangi kesalahan lampau dengan cara melakukan kebaikan kepada orang lain dalam tempoh tertentu

Jelasnya, meskipun ada berpendapat hukuman penjara adalah setimpal dan mampu memberi pengajaran kepada orang lain, namun ia sebenarnya bukan penyelesaian terbaik bagi setiap individu yang melalui sistem keadilan jenayah negara.

"Ini merupakan kesalahan pertama mereka, kemungkinan mereka ini harapan keluarga, sudah tentu pada yang gagal membayar denda itu adalah dari kalangan keluarga miskin.

"Pihak berkuasa sewajarnya memandang serius kesan seumur hidup mereka selepas mempunyai rekod banduan kerana insiden seperti ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Sehinga kini, semakin meningkat kes mereka yang didakwa melanggar PKP yang mana ia turut melibatkan ramai 'pesalah muda' yang dijatuhi hukuman penjara selepas mereka gagal menjelaskan denda oleh mahkamah.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Rabu, Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, seramai 378 individu menjalani hukuman penjara kerana melanggar PKP.

Zuhairi berkata, dengan meletakkan pesalah muda dalam penjara, ia akan menjarakkan mereka dengan masyarakat dan boleh membawa impak yang negatif kepada pesalah dari segi psikologi sepanjang menjalani hukuman itu.

Mengulas berhubung hukuman perintah khidmat masyarakat yang dicadangkan Peka, beliau berkata, antaranya adalah membersihkan kawasan dan membantu penghuni institusi kebajikan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Kesalahan mereka kecil sahaja jika dibandingkan dengan kesalahan jenayah lain yang lebih berat. Kami berharap agar mahkamah menyemak semula hukuman yang dikenakan kerana masih ada alternatif selain memenjara untuk memberi kesedaran kepada pesalah muda.

"Bukanlah asing dalam sistem keadilan jenayah tanah air perintah khidmat masyarakat, tetapi ia perlu diperluaskan kepada pesalah-pesalah lain mengikut kesesuaian," jelasnya.

Katanya, hukuman seperti itu mewujudkan ruang bagi pesalah muda membuat pemulihan akhlak sekali gus memberi faedah kepada masyarakat.

“Oleh itu, kerajaan wajar meluaskan pelaksanaan hukuman ini melangkaui peruntukkan Seksyen Kanun Tatacara Jenayah sahaja. Untuk makluman, berdasarkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan mahkamah mengenakan hukuman perintah khidmat masyarakat kepada setiap pesalah muda,” katanya.