Alasan mahu membeli makanan, tetapi membuatnya berulang kali, merupakan antara sebab beberapa individu ditahan polis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, masih ada lagi segelintir orang yang membuat aktiviti secara berkumpulan di luar rumah seperti minum di warung dan kedai kopi.

“(Antara alasan) mereka ialah untuk beli makanan, tetapi empat kali sehari orang sama, sehingga polis kenal, pagi keluar tengah hari keluar petang keluar malam keluar, atas alasan nak beli makanan. Jadi polis syak mereka bukan genuine dari segi nak beli makan tapi sengaja nak keluar. Itu antara contoh.

“Selain itu masih yang berkumpul beramai-ramai di warung, kedai kopi, minum beramai-ramai, yang keluar dalam satu kumpulan, group ramai. Perkara seperti ini masih lagi berlaku, itu sebabkan polis ambil tindakan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Selain itu, jelasnya lagi, terdapat juga insiden seperti sengaja merempuh sekatan jalan raya pihak berkuasa, dan memaksa polis mengambil tindakan lebih tegas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai alasan yang sering dikemukakan oleh individu yang ingkar terhadap PKP, sehingga memaksa polis tiada pilihan lain selain menahan kumpulan berkenaan.

Sebelum itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 649 individu telah ditahan dalam operasi pihak berkuasa semalam, dan 73 individu telah dihadapkan ke mahkamah.

“Apabila tindakan lebih tegas dilaksanakan, ramai yang kita dapati masih lagi ingkar kepada arahan yang dikeluarkan.

“(Jadi) pihak polis telah diberi kebenaran untuk mengambil tindakan tegas, antaranya adalah mengeluarkan kompaun dan sebagainya, selain tindakan bawa ke mahkamah,” katanya lagi.

Dalam 997 operasi sekatan jalan raya yang dijalankan semalam, beliau berkata, sebanyak 301,938 ribu kenderaan diperiksa, penambahan satu kali ganda berbanding hari sebelumnya.