Industri pelancongan negara terus merekodkan perkembangan positif apabila bilangan pelancong domestik menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 78.2 juta pelancong pada tahun 2018.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohammadin Ketapi berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 10.9 peratus berbanding 70.5 juta pelancong domestik pada tahun 2017.

“Pelancongan domestik memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi negara dan MOTAC akan sentiasa bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menyokong promosi pelancongan domestik.

“Pertumbuhan pelancongan domestik 2018 yang memberangsangkan ini menyuntik semangat yang kuat untuk MOTAC merancakkan dan menjayakan kempen Visit Malaysia 2020.

“Ia merupakan satu misi nasional ini dan terus menyokong industri pelancongan di Malaysia,” katanya dalam sidang media pengumuman prestasi pelancongan domestik 2018 di sini pada Khamis.

Hadir sama adalah Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Selain itu, jumlah perbelanjaan pelancong domestik juga mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 11.7 peratus dengan merekodkan sejumlah RM60.4 bilion berbanding RM54.1 bilion pada tahun 2017.

Sementara itu, purata perbelanjaan per kapita meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada RM772 berbanding RM767 pada tahun 2017.

Dari segi komponen perbelanjaan pelancong domestik, aktiviti membeli-belah mencatatkan peratus tertinggi iaitu sebanyak 26.8 peratus. Ini diikuti oleh pembelian bahan api kenderaan (15.4 peratus), makanan dan minuman (13.9 peratus), perbelanjaan oleh isi rumah yang dilawati (13.7 peratus), penginapan (13.0 peratus), pengangkutan (8.4 peratus), perbelanjaan aktiviti (4.9 peratus), dan perbelanjaan sampingan (3.9 peratus).

Dalam pada itu, negeri yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong domestik adalah Pahang iaitu seramai 9.2 juta orang, diikuti oleh Johor (7.8 juta), Perak (7.6 juta), Selangor (6.8 juta) dan Negeri Sembilan (6.1 juta).

Malah, pelancong domestik masih memilih penginapan tidak berbayar yang disediakan oleh saudara-mara dan rakan sebagai pilihan penginapan utama.

Ia mencatatkan jumlah peratus yang tertinggi iaitu sebanyak (68.2 peratus), diikuti hotel (20.4 peratus), apartmen (4.4 peratus), homestay atau rumah percutian (3.0 peratus), chalet (2.3 peratus) dan rumah rehat (1.7 peratus).