Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau mahu semua nelayan Indonesia yang berada di empat daerah di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) iaitu Kunak, Lahad Datu, Tawau dan Semporna menghentikan sementara kerja-kerja menangkap ikan di perairan itu.

Ketua Perwakilan KRI Tawau, Krishna Dielani berkata peringatan itu sah sehingga kerajaan Malaysia memberi jaminan keselamatan terhadap nelayan Indonesia yang bekerja di empat daerah tersebut.

"Pada Selasa lepas, satu perjumpaan dijalankan KRI bersama 10 majikan perusahaan ikan serta persatuan ikan dan perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak majikan mereka bahawa nelayan Indonesia perlu menghentikan sementara kegiatan menangkap ikan sehingga satu tempoh jaminan perairan di Esszone selamat.

"Sekiranya perkara itu tidak dipatuhi oleh nelayan Indonesia maka nelayan ini perlu menanggung risiko sendiri termasuk diculik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 1,500 nelayan Indonesia bekerja di perusahaan ikan di empat daerah berkenaan.

Pada 19 Nov lepas, dua nelayan warga Indonesia diculik di perairan Merabung, Lahad Datu iaitu kira-kira dua minggu selepas dua nelayan Indonesia diculik di perairan Kertam di Kinabatangan, Sandakan.

Dalam pada itu, Krishna berkata selain nelayan, Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang bekerja berkaitan pelancongan atau berniaga di empat kawasan perairan berkenaan perlu menghentikan sementara kegiatan mereka.

"Perkara ini, susulan situasi keselamatan di perairan Sabah yang bersempadanan dengan Filipina kerap berlaku penculikan bersenjata untuk wang tebusan melibatkan warga Indonesia sejak kebelakangan ini," katanya lagi.

Menurutnya, warga Indonesia yang terkesan dengan saranan itu dinasihatkan agar kembali ke Indonesia atau melakukan kerja-kerja lain selain kegiatan di laut.

Sementara itu, menurutnya warganegara Indonesia (WNI) di Esszone perlu mematuhi peraturan keselamatan termasuk arahan perintah berkurung yang dikeluarkan pihak keselamatan Malaysia.

"Apabila berlaku situasi darurat melibatkan WNI khususnya di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau mereka perlu segera melapor kepada balai polis terdekat atau menghubungi KRI Tawau di nombor 089-772052 dan 089-752969," katanya.

-- BERNAMA