Badan Perhubungan UMNO Kelantan mempunyai kaedah tertentu menangani individu kecewa yang tidak disenaraikan sebagai calon pada Pilihanraya Umum Ke-14 selepas berhempas pulas melobi.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara contoh pendekatan yang diambil ialah memujuk yang kecewa melalui pendekatan bersemuka atau melalui orang tengah.

Beliau tidak menafikan terdapat pihak berusaha melobi di peringkat atasan atau pun melalui akar umbi.

Bagaimanapun keputusan terletak pada Presiden Datuk Seri Najib Razak dan sekiranya tidak terpilih, mereka perlu akur dan taat kepada parti.

“Orang melobi peringkat tertinggi ini perkara biasa dan ini bukan luar dugaan tapi bagaimana nak tanganinya PM pun dah sebut bagaimana konsep walaq di mana ketaatan kepada pemimpian.

“Maknanya apa jua keputusan oleh pemimpin kita kena akur kalau semua akur walaupun ada pihak melobi untuk dirinya atau melalui orang lain, ini perkara biasa tak boleh sekat yang penting cara kita tangani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi terkini yang memperlihatkan ramai individu mula menawarkan diri untuk menjadi calon dan bertanding pada pilihan raya umum.

Persaingan untuk menjadi calon timbul selepas angin perubahan di Kelantan, yang menyaksikan UMNO mampu untuk menawan Kelantan dari PAS atas faktor pertandingan tiga penjuru dan kekecewaan rakyat Kelantan.

Faktor ketiadaan bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Adbul Aziz Nik Mat turut menyumbang kepada angin perubahan yang dikatakan memberi peluang kepada UMNO.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli menjelaskan, cabaran dalam menangani masalah pemilihan dan persaingan calon ini memerlukan pengalaman sewaktu Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor tiga tahun lalu turut digunakan dalam situasi ini.

Kebiasaannya terdapat lima calon bagi setiap kawasan dan daripada lima calon itu hanya satu dipilih.
Mustapa juga memaklumkan senario politik di Kelantan pada masa ini memperlihatkan UMNO mempunyai peluang cerah merampas Kelantan.