Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan April 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menyaksikan penurunan sebanyak 2.9 peratus menjadi 11.7.6 mata berbanding 121.1 mata pada bulan yang sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memberitahu, penguncupan ini merupakan yang terendah dicatatkan dalam tempoh 10 tahun.

Beliau menjelaskan, penurunan IHP adalah didorong oleh penurunan indeks kumpulan pengangkutan sebanyak 21.5 peratus, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.2 peratus) yang menyumbangkan 14.6 peratus dan 23.8 peratus daripada keseluruhan wajaran.

"Purata harga RON95 yang lebih rendah pada April lalu iaitu RM1.27 per liter berbanding RM2.08 pada April tahun lalu juga telah menyumbangkan kepada perubahan negatif indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.

"Tambahan pula, purata harga RON97 juga menunjukkan penurunan harga kepada RM1.57 per liter berbanding RM2.71 manakala diesel menurun kepada RM1.49 per liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama pada 2019," katanya ketika mengumumkan IHP secara langsung di Facebook di sini, pada Rabu.



Mohd Uzir turut menjelaskan, walau bagaimanapun, kumpulan utama makanan dan minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan bagi April 2020 sebanyak 1.2 peratus kepada 133.9 berbanding 132.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan itu katanya, menyumbangkan sebanyak 29.5 peratus daripada keseluruhan IHP.

Tambahnya, selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menyumbangkan peningkatan 2.3 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.2 peratus) dan pendidikan (1.2 peratus).

"Bagi perbandingan bulanan pula, IHP turut menurun sebanyak 2.7 peratus berbanding Mac lalu dan penurunan ini disumbangkan oleh pengangkutan (-13.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.8 peratus).

"Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula menurun 0.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu," jelasnya.

Indeks bagi semua negeri pula ujarnya, mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

"Peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak dan Terengganu dengan masing-masing 1.8 peratus diikuti Johor (1.7 peratus) dan Pulau Pinang (1.5 peratus).

"Data ini menunjukkan peningkatan melebihi paras nasional iaitu 1.2 peratus bagi kategori makanan dan minuman bukan alkohol pada April lalu," kata Mohd Uzir.

Pun begitu, beliau memaklumkan IHP tanpa bahan api untuk kenderaan iaitu bagi RON95, RON97 dan diesel berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus manakala indeks teras meningkat sebanyak 1.3 peratus pada April tahun ini berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Indeks teras katanya meliputi barangan tidak termasuk makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.