Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan cetusan idea Bank Negara Malaysia (BNM) yang mahu bantuan disalurkan kepada rakyat secara lebih berkesan dengan kaedah subsidi sasar berbanding subsidi pukal yang dilihat berpotensi berlakunya ketirisan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, idea itu bukan berunsurkan politik sebaliknya mengambil kira keberkesanannya dalam membantu golongan sasar berdasarkan kadar pendapatan mereka meliputi golongan berkeluarga dan bujang.

Ini kerana, berdasarkan teori ekonomi, pemberian BR1M kepada golongan B40 adalah lebih efektif kerana ia akan memangkin pertumbuhan ekonomi domestik.

"Idea nak buat BR1M ini bukan dari saya, bukan dari mana-mana orang politik tetapi dari Bank Negara Malaysia, yang tak ada soal kepartiaan sama sekali tetapi BNM mencadangkan bahawa kaedah subsidi bersasar adalah lebih baik daripada subsidi pukal.

“Subsidi pukal banyak ketirisannya. Misalnya, kalau kita bagi subsidi mungkin dia boleh jual di sempadan kepada orang lain… mungkin pekerja asing akan dapat, pelancong boleh dapat, jadi banyak ketirisan,” katanya ketika berucap merasmikan BR1M peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan hari ini menyampaikan BR1M kepada 2,000 kumpulan pertama penerima yang layak di daerah Pekan.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaaan pembangkang yang menyatakan bahawa BR1M adalah ibarat dedak dan untuk meraih undi, tetapi sebaliknya bertujuan membantu golongan sasar.

Perdana Menteri turut mendedahkan, janji kerajaan kepada rakyat untuk menaikkan kadar BR1M kepada RM1,200 dalam tempoh lima tahun telah tercapai dengan 97.6 peratus manifesto kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berjaya direalisasikan.

Tahun ini, kira-kira RM6.8 bilion telah diperuntukkan untuk diagihkan kepada 7.2 juta rakyat di seluruh negara mulai esok.

Penerima boleh mula menyemak akaun bank masing-masing esok serta bantuan akan diagihkan melalui tiga fasa, iaitu bulan Februari, Jun dan Ogos.

Penerima berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan mendapat bantuan berjumlah RM1,200 manakala penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,100 hingga RM4,000 menerima sebanyak RM900, serta penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah bagi individu bujang akan menerima sebanyak RM450.

Peserta program e-Kasih dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah turut menerima bantuan BR1M.