Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada rakyat bahawa tiada kekecohan akan berlaku susulan usaha Putrajaya meraktifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan kekecohan berlaku disebabkan hasutan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menyifatkan bahawa kerajaan amat sensitif terhadap pandangan rakyat, Tun Dr Mahathir menegaskan kerajaan akan sentiasa mendengar pandangan diutarakan rakyat kepada mereka.

“Kerajaan tidak nyatakan yang kita akan laksanakannya. Tapi kita akan mencuba laksanakannya sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian daripadanya, itu bukan perkara utama.

“Apa yang dibimbangi Melayu ketika ini, kecuali Zahid akan cetuskan masalah, tiada kekecohan akan berlaku. Kita boleh berbincang. Kita tidak menolak pandangan rakyat.

“Kita sentiasa sensitif kepada pandangan rakyat. Perlu sentiasa ingat, ini merupakan kerajaan yang dibentuk rakyat. Hasil daripada kuasa rakyat yang meletakkan kita sebagai kerajaan,” katanya pada sidang media bersama wakil Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 di sini hari ini.

Semalam Ahmad Zahid mengugut untuk mengadakan protes menentang ICERD dengan kerjasama PAS, yang mana komuniti Islam dan Melayu akan mengamul jika konvensyen itu diraktifikasi.

Tambah Dr Mahathir, isu melibatkan pindaan Perlembagaan Negara itu dilihat amat serius di mana ia memerlukan persetujuan dua per tiga Parlimen jika ingin dipinda.

Dengan kekurangan dua pertiga Ahli Parlimen Kerajaan, sekali gus memerlukan sokongan pembangkang, Dr Mahathir berkata perkara itu mungkin sukar dilaksanakan.

“Sedangkan anggota kerajaan sendiri tidak menyokong, jadi saya rasakan agak mustahil untuk kita mencapai sokongan dua pertiga majoriti,” ujarnya.