Dua maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 160.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi ini.

Dua mangsa maut ialah seorang wanita dan bayinya berusia lapan bulan yang tersepit di dalam kenderaan.

Mangsa maut dikenal pasti sebagai Siti Khadijah Haron, 33, dan bayi perempuannya, Nur Qaireen Marissa Nor Azry.

Menurut sumber, kedua-dua mangsa dalam perjalanan secara berkonvoi untuk pulang ke Pahang selepas mengikuti hari keluarga di Alor Setar, Kedah.

Kemalangan kira-kira jam 12.10 tengah malam itu turut membabitkan sebuah lagi treler dan tiga lagi kenderaan lain termasuk sebuah jip.


Dua maut dalam nahas melibatkan treler dan 4 kereta di Lebuhraya PLUS tengah malam tadi.

Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah treler yang hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad memaklumkan treler yang dipandu lelaki berusia 39 tahun itu dikatakan terlebih dahulu melanggar sebuah kereta jenis Volvo sebelum merempuh Proton Waja yang dinaiki mangsa.

Akibat rempuhan itu, kenderaan dinaiki lima beranak itu terperosok di bahagian belakang sebuah lagi treler yang berada di hadapan di lorong kiri lebuh raya.

Keadaan kereta mangsa nahas.

Shafee berkata akibat perlanggaran itu kedua-dua mangsa yang berada di tempat duduk belakang Proton Waja tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suami wanita itu dan dua lagi anaknya walau bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan teruk lebih enam jam di laluan lebuh raya itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Sementara itu, polis meminta saksi kejadian agar tampil menyalurkan maklumat di balai berdekatan.