Usaha kerajaan dalam mewajibkan pemakaian Kerusi Keselamatan kanak-kanak ataupun 'Child Restraint System' (CRS) pada tahun hadapan disambut baik golongan ibu bapa.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui Bernama bersetuju dengan langkah yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan menangani isu kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian di kalangan kanak-kanak.

Pekerja swasta, Atika Abd Gafar, 29, berkata penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dapat mencegah dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti terhantuk ketika brek kecemasan.

Kata ibu kepada dua anak, soal keselamatan si kecil perlu diutamakan selain berfungsi untuk melindungi anak-anak dalam kenderaan semasa berlakunya pelanggaran.

"Mungkin ada yang beranggapan kerusi khas kanak-kanak ini agak mahal dan ada yang kurang berkemampuan untuk membelinya.

"Oleh itu kita berharap kerajaan mencari langkah terbaik seperti memantau atau mengawal harganya supaya tidak membebankan ibu bapa," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bagi Othman Zainal, 40, yang bekerja di sebuah syarikat swasta dekat sini berkata pemakaian kerusi keselamatan perlu disokong dalam usaha meningkatkan keselamatan di jalan raya khususnya terhadap golongan kanak-kanak.

Penjawat awam, Salwa Umairah Khalil, 32, keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan setiap masa oleh ibu bapa.

Tanggungjawab orang dewasa memastikan agar keselamatan anak-anak mereka diberi perhatian.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Majlis Pelancaran Mewajibkan Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Makmal Ujian Pelanggaran Miros PC3 di sini.

-- BERNAMA