Hospital medan tajaan Malaysia yang akan dibina pada jarak perjalanan kira-kira 10 hingga 15 minit dari kem pelarian wilayah Cox's Bazar, Bangladesh akan beroperasi selewat-lewatnya 1 Disember depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hospital medan itu bakal dilengkapi bilik bedah, x-ray, unit rawatan rapi (ICU), bilik kecemasan dan bilik bersalin dengan kapasiti maksimum 100 katil.

"Hospital ini akan didirikan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) tetapi pengendaliannya oleh Kementerian Kesihatan dan orang perseorangan sebagai sukarelawan.

"Ini adalah usaha secara bersama dan manifestasi kepada kesungguhan kerajaan dan rakyat Malaysia untuk terus memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pelarian Rohingya," katanya selepas meninjau pembinaan hospital medan itu di Hospital Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Datuk Seri Najib berkata hospital tersebut akan beroperasi sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan di Bangladesh.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah.

Katanya, Malaysia memang mendahului isu pelarian Rohingya dari semua sudut termasuk diplomasi, forum dan bantuan kemanusiaan.

"Kita cadang menerbangkan kargo hospital medan itu ke Bangladesh pada 20 November ini. Pada 21 November kumpulan pertama (doktor dan petugas) akan berlepas dan mendarat di Chittagong dan hospital medan ini akan didirikan berhampiran kem pelarian," katanya.

Datuk Seri Najib turut berterima kasih kepada kerajaan, tentera dan pihak berkuasa di Bangladesh kerana memberikan kerjasama dan sokongan bagi pembinaan hospital medan itu selepas Malaysia menjadi negara asing pertama menghantar bantuan kemanusiaan ke Cox's Bazar pada 9 September lalu.

Mengikut rekod, terdapat dua hospital medan di Cox's Bazar yang dibangunkan Palang Merah Norway dan Bulan Sabit Merah Bangladesh bagi menampung keperluan ribuan pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.