Rakyat di negara ini dinasihatkan supaya lebih berwaspada untuk menerima tawaran bekerja sambil melancong ke luar negara bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan ejen-ejen pelancongan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, semua pihak perlu memastikan tawaran itu benar-benar sahih selain mendapatkan maklumat mengenai syarat bekerja di negara yang dimaksudkan.

Menurutnya, ejen-ejen pelancongan itu dikatakan sengaja memberi gambaran palsu yang menakjubkan bagi menarik perhatian orang ramai.

"Jangan mudah percaya terhadap ejen pelancongan yang sewenang-wenangnya menjanjikan pekerjaan dengan pendapatan yang lumayan.

“Semua rakyat Malaysia yang ingin mengunjungi mana-mana negara hendaklah mematuhi syarat kemasukan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan negara berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Ziarah Kasih Kembali ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Pei Yin, Membakut, hari ini.

Dalam majlis terbabit, beliau turut berkesempatan menyampaikan sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 420 murid dari 14 buah sekolah di daerah ini.

Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Membakut (ADUN); Datuk Arifin Arif dan ADUN Bongawan; Datuk Mohamad Alamin.

Sebelum ini, timbul isu kegiataan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menjalankan sindiket penipuan dengan menawarkan peluang pekerjaan sambil melancong kepada rakyat Malaysia ke beberapa buah negara dengan gaji yang luar biasa.