Bangkai seekor harimau dahan dengan kaki kanannya dipercayai mati akibat tertusuk dawai jerat dijumpai di Kampung Sarok, Rancangan Penempatan Sementara (RPS) Dala, dekat sini pada petang Khamis.

Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penemuan haiwan terlindung berkenaan.

Jelasnya, penemuan bangkai harimau jantan dianggarkan seberat antara 20 hingga 25 kilogram itu merupakan kes pertama harimau dijerat di negeri tersebut.

Katanya, bangkai harimau jantan yang berusia di antara 8 hingga 10 tahun itu juga dipercayai telah mati dua hari yang lepas.

Sementara itu, sebuah kenyataan media daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut mengesahkan penemuan haiwan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata Perhilitan daerah Gerik juga menjalankan pemeriksaan di keseluruhan kawasan tersebut bagi mencari dan memusnahkan jerat-jerat yang masih ada.

“Penggunaan jerat merupakan tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana boleh menyebabkan kepupusan pelbagai spesies hidupan liar secara drastik.

“Ia juga boleh mendatangkan kecederaan serius bukan sahaja pada hidupan liar malah be­risiko memberi ancaman kepada manusia yang melalui kawasan yang dipasang jerat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada petang Jumaat.

Wan Junaidi berkata, penggunaan jerat merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 serta tidak melebihi RM100,000 serta mandatori penjara tidak lebih dua tahun.

Katanya, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menyeru semua agensi pertubuhan badan bukan kerajaan dan orang ramai menyokong usaha kerajaan dalam memastikan hidupan liar dapat dilindungi daripada ancaman pemburu haram yang me­nyumbang kepada kepupusan haiwan.