Pasar belian terus hasil pertanian, MyFarm Outlet, yang pertama kali dibuka di negara ini, di Presint 7 di sini, mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melawat pasar berkenaan berkata sehingga 4 petang, pasar itu mencatatkan jualan keseluruhan kira-kira RM100,000 membabitkan 29 usahawan.

"Ini sangat bagus dan jualan ini ada kaitan dengan harga dan jenis barangan yang dijual. Diharapkan ia akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup penduduk Putrajaya dan sekitar," katanya kepada pemberita sempena lawatan itu.

Ahmad Shabery berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan membuat pemantauan di MyFarm Outlet bagi memastikan peniaga terus menawarkan harga barangan lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Misalnya ayam dijual RM5.49 sekilogram, ikan kembung selalunya RM15 ke RM16 sekilogram tetapi pada hari ini RM12. Bagaimanapun, bagi barangan kawalan seperti gula dan sebagainya dijual mengikut harga ditetapkan," katanya.

Luaskan pembukaan

Ahmad Shabery berkata kementerian juga bersedia untuk memperluaskan pembukaan MyFarm Outlet berbanding 11 lokasi yang dirancang di seluruh negara, bagi mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peniaga sekali gus memberi lebih pilihan kepada orang ramai.

"Fama boleh bekerjasama dengan pengusaha swasta jika mereka dapat memastikan harga jualan sama seperti yang ditetapkan dan kualiti barangan yang segar.

"11 (MyFarm Outlet) yang akan kita buka nanti boleh menjadi model yang boleh diikuti oleh pihak lain. Saya difahamkan ramai yang berebut untuk berniaga di sini," katanya.

Pembukaan MyFarm Outlet di seluruh negara diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lepas bagi memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barang keperluan harian pada harga lebih rendah.

Dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, MyFarm Outlet memasarkan tujuh kumpulan barangan keperluan utama iaitu ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan hasil industri asas tani dan barangan sejuk beku.

Puas hati

Sementara itu, tinjauan mendapati rata-rata pengguna berpuas hati dengan kualiti dan harga barangan yang ditawarkan di pasar berkenaan dengan peniaga turut memaparkan perbezaan harga barangan berbanding harga pasaran.

Pesara, Abdul Malik Hamid, 57, berkata harga yang ditawarkan di pasar itu lebih rendah berbanding harga barangan yang dijual di pasar malam dan pasar raya besar.

"Banyak untung beli barang di sini, tempat letak kereta pun percuma. Memang saya sangat berpuas hati," katanya kepada Bernama.

Bagi Loh Chieu Imm, 50, pula pasar itu pasti akan mendapat sambutan daripada orang ramai jika dapat mengekalkan harga barangan seperti yang ditawarkan pada hari ini.

"Saya baru beli telur sesarang dua hari lepas di pasar borong pada harga RM9.90, tetapi di sini RM8 sahaja, jadi saya jimat RM1.90," katanya.

Wan Hamidah Wan Mohd, 43, pula berkata beliau tidak perlu lagi pergi ke pasar borong pada awal pagi memandangkan harga barangan keperluan yang ditawarkan di MyFarm Outlet jauh lebih murah.

"Memang sangat berbeza dari segi harga, cuma hanya ada sesetengah barangan seperti daging yang harga sama seperti di pasar borong. Saya tinggal berdekatan jadi saya akan terus membeli barangan di sini sahaja," katanya.