Kerajaan hari ini bersetuju untuk menetapkan harga siling RON95 pada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Mesyuarat Jemaah Menteri sebulat suara memutuskan harga siling petrol RON95 pada RM2.08 seliter.

“Penetapan harga itu bermakna harga runcit RON95 akan dihadkan kepada RM2.08 seliter sungguh pun harga minyak dunia naik lebih daripada itu.

“Sekiranya harga minyak dunia berada di bawah paras tersebut, harga mingguan petrol RON95 akan berada di bawah paras RM2.08,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Harga runcit RON95, RON97 dan diesel berdasarkan pengiraan Automatic Price Mechanism (APM) akan terus diumumkan secara mingguan.

Pengurangan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, tambah Guan Eng.