Harga runcit petrol RON97 turun 2 sen seliter daripada RM2.70 seliter kepada RM2.68 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Mei ini.

Bagi tempoh yang sama, harga runcit RON95 dan diesel pula masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga RON95 dan diesel sepatutnya lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan kerajaan.

"Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM,harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama sepatutnya adalah masing-masing RM2.38 dan RM2.45 seliter.

"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan dalam tempoh 18 Mei 2019 sehingga 24 Mei 2019 adalah berjumlah RM99.19 juta," tulis kenyataan itu.