Harga runcit petrol RON97 turun 6 sen kepada RM2.58 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Kewangan (MoF) berkata harga runcit produk petroleum itu adalah bagi tempoh 21 hingga 27 Disember ini.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.28 seliter dan RM2.34 seliter masing-masing.

“Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.34 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.32 seliter.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Kewangan berkata harga runcit produk petroleum itu adalah bagi tempoh 21 hingga 27 Disember ini. - Astro AWANI

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” kata MoF dalam kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan berkenaan, dengan pengekalan harga runcit bagi RON95 dan diesel, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 21 Disember hingga 27 Disember 2019 adalah berjumlah RM93.74 juta.