Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yakin harga barang boleh turun dengan menangani masalah orang tengah yang mengaut keuntungan melampau.

Menurut Daim, keyakinan itu berdasarkan kajian serta pertemuan beliau dengan pelbagai pihak termasuk pihak koperasi dan pemborong.

“Harga barang boleh turun. Masalah sekarang ialah orang tengah yang mengaut keuntungan terlalu tinggi.

“Berdasarkan kajian saya dan bertemu nelayan contohnya, mereka boleh memintas ‘orang tengah’ dan harga boleh sama dengan pasar borong,” kata Daim semasa temubual eksklusif bersama Astro AWANI, baru-baru ini.


Pada masa yang sama, beliau sudah bercakap dengan Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan baik

“Sebagai contoh, kobis — harga daripada petani ialah RM1, tetapi di pasaran pengguna terpaksa membeli dengan harga RM8. Jadi ke mana perginya RM7?” soal bekas Menteri Kewangan itu.

Tun Daim Zainuddin


Kadar tol pun boleh turun

Tun Daim Zainuddin


Daim mendedahkan serba sedikit kajiannya dalam dua siri wawancara eksklusif ‘Perspektif Tun Daim’ yang bakal disiarkan pada Rabu (29 Mei) dan Khamis (30 Mei) pada pukul 9 malam di Saluran 501 Astro AWANI.

Selain harga barang, beliau turut menegaskan bahawa kajian yang dilakukan menunjukkan kerajaan berupaya menurunkan kadar tol sehingga 25 peratus.

“Sekurang-kurangnya boleh turun 25 peratus, itu pun terpulanglah kalau kerajaan mahu turunkan.

“Saya di sini (Menara Ilham) juga melakukan kajian dan kerajaan perlu lakukan kajian yang mendalam,” ujar beliau.


Tambahnya, penurunan harga barang dan kadar tol adalah faktor yang berupaya menyuntik semula keyakinan umum terhadap pemerintahan Pakatan Harapan.