Serendah RM10, orang ramai kini boleh menggunakan pengangkutan awam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 melalui perkhidmatan bas perantara dari stesen LRT Putra Heights

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan ini adalah yang terbaharu daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Tiket bagi perkhidmatan ini dijual secara kombo di setiap stesen LRT, stesen MRT dan stesen Bus Rapid Transit (BRT) serta Monorail.

"Perkhidmatan bas perantara ini merupakan antara inisiatif yang dilakukan Prasarana dan Syarikat Perkhidmatan Hafeena melalui jenama basnya, Jetbus.

"Saya ingin menegaskan, kerajaan tidak mengamalkan sifat pilih kasih. Walaupun Prasarana milik kerajaan dan Jetbus milik swasta, saya sebagai Menteri melancarkan dua operasi ini secara serentak.




"Apa yang penting ialah kita mahu melihat supaya ada saingan sihat yang menjurus kepada perkhidmatan lebih baik," katanya pada sidang media selepas pelancaran perkhidmatan bas perantara tersebut pada Khamis.

Loke berkata, pemilihan stesen LRT ini adalah sebagai titik permulaan kerana kedudukannya yang strategik di mana ia menghubungkan LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang.

"Putra Heights yang dilihat berpotensi sebagai hab pengangkutan awam, mampu bertindak sebagai pemangkin pembangunan bandar yang lebih efektif dan dinamik dengan memberikan keuntungan kepada sektor perniagaan dan komersil di sekitar kawasannya.



"Dengan kadar frekuensi 30 minit bagi setiap bas dan dilengkapi dengan ruang bagasi, perkhidmatan bas perantara yang berdurasi 40 minit dari stesen LRT Putra Heights ke KLIA mampu mewujudkan pilihan baharu terbaik untuk rakyat yang berhasrat untuk membuat perjalanan ke KLIA," tambahnya.

Buat masa ini, Prasarana menyediakan lima bas perantara setiap hari dengan setiap bas mampu menampung 37 penumpang.

Sementara itu, Loke turut melancarkan perkhidmatan bas perantara ke KLIA dan klia2 melalui JetBusdengan tambang RM4 sehala yang bertolak setiap 60 hingga 90 minit.

Dalam perkembangan lain, apabila ditanya mengenai laporan media berhubung pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), beliau berkata ia sekadar khabar angin sahaja.