Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan sekali lagi, hanya kepujian Bahasa Malaysia diperlukan untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk masuk ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Katanya, syarat kepujian Bahasa Malaysia itu tidak termasuk subjek Sejarah atau mata pelajaran lain.

"Sila rujuk manifesto PH, pelajar cuma perlu dapat kepujian Bahasa Melayu sebagai syarat untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang mengambil UEC untuk masuk IPTA.

"Subjek Sejarah tidak termasuk, hanya kepujian dalam Bahasa Melayu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian ketika diminta mengulas status Facebook yang dimuat naik oleh Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa yang menulis sijil UEC belum boleh diiktiraf kerana tidak selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan sekali gus bercanggah dengan Akta Pelajaran.


Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, isu utama dalam pengiktirafan UEC ini ialah kurikulum Bahasa Malaysia dan Sejarah yang kini diguna pakai masih belum setara dengan kurikulum kebangsaan yang digunakan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, Annuar berpandangan isu ini boleh diselesaikan kerana sekolah menengah persendirian Cina wujud secara sah di bawah Perlembagaan Negara.

Beliau mencadangkan tiga jalan penyelesaian berhubung kemelut ini iaitu, pengiktirafan bersyarat iaitu sijil UEC selain kepujian Bahasa Malaysia perlu juga lulus Sejarah dalam SPM, pengiktirafan sepenuhnya dengan Lembaga Peperiksaan dan Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong) serta membenarkan pelajar mengambil subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah dalam peperiksaan Julai.