Berbekalkan modal permulaan RM7,000 bagi membeli dua ekor lembu untuk diternak kira-kira lima tahun lepas, hari ini pemuda dari Kampung Putat, Jalan Kodiang dekat sini boleh disifatkan sebagai usahawan berjaya apabila memiliki 130 ekor haiwan itu di kandangnya.

Muhammad Aiman Muhammad Zaini, 24, kini adalah antara pembekal daging lembu di sini serta Alor Setar, dan permintaan untuk ternakannya itu memang sentiasa meningkat menjelang tiba sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Dahulu sewaktu masih bersekolah saya membantu bapa saya yang menjalankan perniagaan menjual lembu dan saya banyak belajar daripada bapa cara menjaga lembu, penjagaan kandang, jenis penyakit hinggalah kepada proses penyembelihan lembu.

"Kemudian pada usia saya 18 tahun bapa menyerahkan perniagaannya dan memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan semua, daripada urusan membekal lembu hidup, penyembelihan dan menjual daging kepada peraih," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Muhammad Aiman (kanan) sedang melihat pekerja-pekerjanya membahagikan daging dan tulang ke dalam tong sebelum dihantar kepada peraih-peraih daging di pasar di sekitar Alor Setar dan Jitra ketika ditemui di kadangnya di Kampung Putat, Jalan Kodiang. - Bernama

Bagaimana pun, menurut Muhammad Aiman sewaktu mengambil alih perniagaan itu, bapanya tidak meninggalkan seekor lembu pun untuk diternak, sebaliknya hanya nama dan lesen syarikat, senarai pembekal lembu dan kandang yang kosong.

Namun, Muhammad Aiman bernasib baik kerana mempunyai simpanan RM7,000 yang dikumpul sewaktu bekerja dengan bapanya dan menggunakan wang itu untuk membeli dua ekor lembu daripada pembekal.

"Daripada dua ekor lembu itu saya jadikan modal 'pusingan' hari-hari dengan membekalkan daging mentah kepada peraih di pasar di sekitar Jitra dan Alor Setar setiap pagi, dan menjelang tengahari saya akan mengutip duit jualan itu untuk dijadikan modal yang baharu untuk membeli lembu dari pembekal," katanya.

Dalam pada itu, bagi melancarkan perniagaannya, Muhammad Aiman menggaji enam pekerja yang terdiri daripada remaja yang baharu habis menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, selain menawarkan pekerjaan, Muhammad Aiman turut tidak keberatan mengajar pekerjanya mengenai teknik penjagaan lembu dan kaedah penyembelihan.

"Mahu cari anak muda untuk bekerja dalam bidang ternakan ini memang susah juga kerana ada yang lari sebab tidak tahan bau dan takut lembu, tapi saya cuba mendekati mereka dan buka peluang kepada mereka untuk menceburi pekerjaan ini," katanya yang berharap mereka dapat mengusahakan ternakan sendiri suatu hari nanti.

-- BERNAMA