Hanya 80 daripada 1,238 pusat tahfiz di seluruh negara mendapat kelulusan bangunan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Perkara ini didedahkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang menyatakan, bagi meningkatkan aspek pencegahan kebakaran di pusat tahfiz seluruh negara, pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan.

Pemeriksaan itu membabitkan 910 pusat tahfiz berdaftar di bawah majlis agama Islam negeri serta 328 pusat tahfiz persendirian.

"Daripada jumlah ini, 252 pusat tahfiz (membabitkan 169 pusat tahfiz berdaftar dan 83 pusat tahfiz persendirian) dikenal pasti tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran.

"Setelah disiasat, 367 notis telah dikeluarkan membabitkan 83 pusat tahfiz atas pelbagai kesalahan.

"Tempoh pematuhan antara 90 dan 180 hari diberikan kepada pengurusan pusat tahfiz untuk memastikan premis mereka memenuhi arahan yang diberikan," kata Noh pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang bertanya usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan bangunan sekolah tahfiz di seluruh negara selepas insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, 14 Sept lalu.

Sementara itu, Noh turut meminta semua ahli Dewan Rakyat melawat sendiri rumah anak yatim serta warga emas yang mempunyai asrama.

Ia bagi memastikan rumah kebajikan itu turut memenuhi prosedur keselamatan bagi mengelak tragedi sama berulang.