Hasrat seorang lelaki untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di Kuala Ketil tidak kesampaian apabila dia ditahan dalam Op Selamat di Susur Keluar Plaza Tol Lunas, malam tadi.

Bukan sahaja memandu motosikal jenis Honda EX5 tanpa lesen, lelaki berusia 27 tahun itu juga disyaki positif dadah jenis methaphetemin.

Malah, perlakuan suspek yang mencurigakan itu memaksa anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menjalankan ujian saringan air kencing.

Suspek yang berhasrat untuk pulang beraya bersama keluarga merayu pasukan keselamatan supaya membebaskannya.

Suspek merupakan antara lima pemandu dan penunggang lain yang ditahan sebelum dibawa ke Pejabat AADK Kulim untuk siasatan lanjut sebelum dituduh di mahkamah hari ini.

Sementara itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyita dua lori kerana cukai jalan tamat tempoh.

Operasi yang bermula jam 8.30 malam itu berakhir jam 12 malam melibatkan seramai 72 anggota penguatkuasaan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), JPJ, AADK dan Puspakom.