Susulan tuduhan terbabit dengan rasuah, Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menerusi satu kenyataan media, Abd Latiff berkata dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tuduhan itu yang sekaligus membuatkan beliau nekad meletak jawatan.

Peletakan jawatan itu, kata Abd Latif, akan membolehkan beliau melalui proses perundangan dengan seadil-adilnya.

Abd Latif juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepadanya, terutamanya DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Abd Latif, 51, semalam dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membabitkan rasuah berkaitan hartanah berjumlah lebih RM30.3 juta.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, untuk menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi projek Eco Botanic Pulai.