Keputusan kerajaan untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 berkaitan perjawatan perdana menteri dibuat oleh jemaah menteri secara sebulat suara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

"Saya fikir, tindakan itu dibuat kerana perbezaan falsafah selain kerajaan semasa juga kerajaan berbeza yang melihat perkara tertentu dengan cara berbeza," katanya ketika ditanya mengenai penarikan balik RUU tersebut daripada dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Lembaga Teknologis Malaysia, di sini hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Palimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan kepada Dewan Rakyat penarikan balik RUU itu yang antara lain berkaitan tempoh jawatan perdana menteri yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua hari ini.



Turut ditarik balik RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ditanya sama ada keputusan tersebut akan menjejaskan agenda perubahan yang mahu dilakukan kerajaan, Saifuddin berkata terdapat banyak perkara yang digariskan di bawah agenda itu dan kebanyakannya masih seperti yang dirancangkan.

"Kami masih berbincang tentang banyak perkara, contohnya pembahagian kuasa antara perundangan, eksekutif dan kehakiman masih dibincangkan. Mengenai pembaharuan undang-undang, saya rasa kami masih berbincang tentang pembentukan suruhanjaya pembaharuan undang-undang.

"Begitu juga dengan reformasi politik dan demokratik, kebebasan Parlimen," katanya. - BERNAMA