Sebuah kilang makanan ringan yang disyaki menggunakan logo halal tanpa kelulusan di Chemor dekat sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekitar dua minggu lepas.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan yang dilaksanakan oleh lima anggota mereka tersebut hasil aduan orang awam mengenai kesahihan logo halal produk keluaran kilang tersebut.

Jelasnya, kilang yang terkenal melalui produk makanan ringan dan kacang tanah itu pernah mempunyai sijil pengesahan sekitar 2014 namun telah tamat tempoh dua tahun selepas itu.

Jelasnya, sehubungan itu pihaknya telah menyita 479 makanan ringan yang telah siap dibungkus, makanan ringan yang belum siap dibungkus (445) dan 59 bungkus kacang tanah yang bernilai RM1,198.

Katanya, buat masa ini KPDNHEP juga telah mengarahkan kilang yang telah beroperasi kira-kira 20 tahun itu untuk menarik semua produk berkaitan yang telah dipasarkan di negeri Perak dan Selangor.

Justeru, pihaknya telah merakamkan keterangan pengurus kilang berkenaan dan mendapati kilang tersebut telah melakukan dua kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011.

"Premis ini disyaki melakukan dua kesalahan terhadap dua produk satu produk kacang tanah satu produk toy bag.

"Kesalahan pertama, syarikat ini pernah mempunyai logo halal bagi barangan berkenaan tetapi telah tamat tempoh. Yang kedua, syarikat ini telah menggunakan logo halal tanpa kelulusan atau pengesahan di peringkat Jakim menggunakan logo halal sendiri," ujar Shamsul Nizam.

Menurut Shamsul Nizam lagi, bagi tempoh 1 Januari sehingga 10 Julai, sebanyak enam aduan mengenai logo halal dibuat orang awam dan empat daripadanya didapati melakukan kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM3,075.

Sementara itu, dua kertas siasatan dibuka KPDNHEP ke atas sebuah restoran makanan segera di Kampar dan kedai farmasi di Ipoh.

Menurutnya, kedua-dua pengusaha premis makanan dan ubatan itu didapati melakukan kesalahan mencatut di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (Akhap) 2011 kerana membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

Tambahnya, pihaknya telah melaksanakan sebanyak 4,856 pemeriksaan sejak Operasi Catut 4.0 dilancarkan sejak 1 Jun lalu dengan 19 notis Seksyen 21 Akhap 2011 dikeluarkan manakala 11 notis Seksyen 53A dan lapan amaran atas pelbagai kesalahan mencatut turut dikeluarkan kepada pemilik premis.