Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya memberikan angka tepat kerana pasaran kewangan bergantung kepada angka itu sekali gus tidak mengelirukan rakyat.

“Terdahulu, Guan Eng mengkritik pasaran kewangan dengan menyatakan hutang negara adalah RM1 trilion tanpa memberikan butiran.

“Namun selepas pelbagai pihak termasuk saya sendiri mempersoalkan, beliau menjelaskan hutang rasmi kerajaan kekal pada RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau mendakwa, tindakan Guan Eng yang memetik pelbagai angka yang tidak tepat adalah bermotif politik.

“Guan Eng terus menegaskan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Singapura-Kuala Lumpur (HSR) yang dibatalkan sekarang ini bernilai RM110 bilion walaupun Singapura dan Malaysia sebelum ini menganggarkan ia akan menelan kos maksimum RM72 bilion termasuk kos pengambilan tanah.

“Beliau mendakwa, angka inflasinya RM110 bilion termasuk kos faedah. Bagaimana angka ini dipetik kerana ia tidak jelas sebagai tender antarabangsa yang memerlukan mereka yang mengambil bahagian untuk mencadangkan pakej pembiayaan mereka hanya ditutup pada Disember 2018,” soalnya.

Katanya, Menteri Kewangan terus mengabaikan permintaan pelbagai pihak untuk mendedahkan kajian perlaksanaan dan ekonomi untuk projek HSR.

“Bagi kepentingan ketelusan, laporan ini harus didedahkan kepada orang ramai untuk menentukan sama ada kepentingan terbaik Malaysia disampaikan dengan membatalkan projek tersebut,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, daripada terus menggunakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai modal politik, Pakatan Harapan (Harapan) harus memastikan pelan rasionalisasi untuk 1MDB diteruskan.

“Fokusnya kini adalah untuk melindungi pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan kestabilan kewangan negara tanpa bermain politik dengan “guesstimates” yang melambung untuk memberi alasan untuk tidak menyampaikan manifesto Harapan mengikut garis masa yang dijanjikan,” katanya.