Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti sebagai sistem kutipan cukai yang lebih cekap berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dan pada masa yang sama membantu mengimbangi kemerosotan hasil akibat kejatuhan harga minyak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata regim percukaian baharu itu diunjur mengumpul hasil berjumlah RM39 bilion tahun depan berbanding RM18 bilion jika kerajaan meneruskan SST.

"Hasil kerajaan akan lebih rendah sebanyak RM21 bilion pada 2016 andai GST tidak dilaksanakan," katanya semasa membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata andai ini berlaku, defisit fiskal mungkin meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan 3.1 peratus yang disasarkan untuk 2016.

"Kerajaan terpaksa meminjam, termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat," katanya.

GST yang bermula 1 April tahun ini diperkenalkan pada kadar enam peratus menggantikan SST pada kadar 10 peratus.

Setakat ini, sistem cukai ini telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.