WALAUPUN berdepan stereotaip ‘pentingkan diri sendiri’ dan ‘tidak kisah’ mengenai isu-isu semasa, golongan muda (berusia antara 18 ke 35 tahun) di seluruh dunia sebenarnya amat prihatin dengan isu global dan berhasrat untuk mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Malah 70 peratus daripada orang muda sedar wujud pelbagai peluang buat mereka dan separuh daripada mereka percaya mereka mampu menyumbang kepada usaha penggubalan dasar di negara masing-masing.

Dapatan berkenaan merupakan tinjauan daripada Global Shapers Survey, sebuah inisiatif World Economic Forum (WEF).

Kajian pada 2016 ini melibatkan 26,000 anak muda dari 181 negara di seluruh dunia.

Ia menunjukkan isu perubahan iklim, peperangan dan konflik agama menjadi kebimbangan utama golongan muda.

Orang muda juga mahu terlibat dalam usaha penyelesaian isu-isu antarabangsa.

Tahun ini Astro AWANI bekerjasama dengan World Economic Forum (WEF) bagi memastikan suara anak muda Malaysia turut sama diambil kira dalam kajian peringkat dunia ini.

Kajian ini juga sebagai usaha kami memperkasa suara anak muda di Malaysia dalam memastikan pendapat mereka diambil kira dalam segenap aspek pembuatan dasar.

Sekiranya anda berusia antara 18 dan 35, kami menjemput anda menyertai survey tahunan Global Shapers Community 2017 menerusi link ini. http://bit.ly/2qeVYWY