Banjir gelombang pertama dan kedua yang melanda Kelantan pada awal Disember dan beberapa hari lalu telah merekodkan lima kematian akibat lemas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan berkata, gelombang pertama banjir yang berlaku bermula akhir November dan awal Disember lepas menyaksikan tiga kematian.

Manakala pada gelombang kedua banjir yang bermula pada malam Selasa lepas menyaksikan dua kematian akibat lemas.

“Yang gelombang pertama tiga (mangsa), yang ini (gelombang kedua) dua orang, berumur 57 tahun dan 24 tahun, dua-dua lelaki.

“Siasatan kami semua laporan mati mengejut lebih menjurus kepada mengharungi air mungkin dia rasa 'ok', arus kuat, kecundang dan lemas dalam air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


BACA: "Syukur jasad anak ditemui" - Ibu mangsa lemas

Beliau menjelaskan tiga kes kematian akibat lemas pada gelombang pertama melibatkan, kanak-kanak dan dewasa yang lemas ketika menjala ikan dan seorang dewasa yang terkena renjatan elektrik ketika mengharungi banjir.

Manakala gelombang kedua menyaksikan dua orang dewasa yang cuba mengharungi air deras ketika banjir ditemukan lemas masing masing melibatkan kes di Jeli dan Pasir Mas.

Hassanuddin menjelaskan, hasil laporan yang diterima pihaknya mendapati ramai mangsa banjir tidak mahu berpindah ketika gelombang kedua banjir yang melanda ini.

Katanya tindakan tidak mahu berpindah itu dibimbangi akan mendatangkan masalah sekiranya air naik dengan cepat dan menenggelamkan kawasan rumah.

Pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan rumah mangsa banjir dipecah masuk oleh penjenayah sepanjang mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara.