Syarikat penerbitan The Edge Communications Sdn Bhd hari ini berjaya memperoleh ganti rugi pampasan berjumlah lebih RM11.2 juta berhubung penggantungan dua penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama tiga bulan pada 2015 berkaitan laporan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini berikutan keputusan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norazlin Othman yang memerintahkan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri selaku responden membayar ganti rugi pampasan berjumlah RM11,260,350.00 kepada The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selaku pemohon, yang digantung penerbitan selama tiga bulan sejak 27 Julai 2015.

Norazlin membuat keputusan itu ketika taksiran ganti rugi bagi kes berkenaan di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Amanda Loh mewakili syarikat penerbitan tersebut dan Peguam Persekutuan Shaiful Nizam Shahrin bertindak bagi pihak responden.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua reponden untuk membayar faedah sebanyak empat peratus bermula 27 Julai 2015 sehingga penyelesaian penuh kes berkenaan.

Pada 9 Ogos 2017, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa The Edge boleh menuntut ganti rugi daripada Menteri Dalam Negeri untuk kerugian yang dialami berhubung penggantungan dua penerbitannya selepas menolak rayuan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha KDN untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan The Edge menuntut ganti rugi daripada kedua-dua pihak.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.

KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015 berkaitan laporannya mengenai isu 1MDB.

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Sept 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tersebut.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan penilaian taksiran ganti rugi yang dialami The Edge dibuat.

Pada 30 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.

The Edge memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 27 Julai 2015 terhadap kedua-dua responden bagi mendapatkan perintah supaya mahkamah menolak keputusan Menteri Dalam Negeri menggantung permit penerbitan kedua-dua penerbitan berkenaan. -- Bernama