Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 10 anggota Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) tidak mempunyai locus standi untuk menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelesaian tuntutan arbitrasi di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib, berkata ini adalah kerana 10 anggota gerakan itu tidak terlibat dalam prosiding arbitrasi di London.

"Mereka tidak menunjukkan bagaimana kepentingan mereka terjejas dan sejauh mana mereka telah terjejas apabila 1Malaysia Development Board (1MDB) mencapai persetujuan dengan International Investment Company (IPIC) di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London," katanya.

Mohd Hafarizam berkata beliau turut berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman berkenaan kerana prosiding arbitrasi itu dikendalikan di London.

"Plaintif juga tersilap apabila menamakan Perdana Menteri sebagai defendan dalam kes saman itu kerana beliau tidak terlibat dalam perjanjian antara IPIC dan Aabar Investment PJS (Aabar Asli)," katanya kepada pemberita selepas berhujah dalam kamar Hakim Datuk Hue Siew Kheng berhubung permohonan Najib, 1MDB dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman 10 individu berkenaan.

Mohd Hafarizam juga berkata mahkamah menetapkan 11 Dis untuk keputusan permohonan Perdana Menteri, 1MDB dan kerajaan untuk membatalkan saman tersebut.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB, Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang bertindak bagi pihak kerajaan serta peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili 10 individu berkenaan.

Pada 11 Julai lepas, GANT1 yang diketuai Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Muhammad Faiz Fadzil bersama sembilan individu memfailkan saman itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai 1MDB dan urusannya dengan IPIC.

Sembilan individu itu ialah Mahathir Mohd Rais, Lee Chuan How, Ridzwan Abu Bakar, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, Muhammad Syaafiq Azmi, Omar Tuah, Mohd Zulhazmi Hassan, Mohamad Ammar Atan dan Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa 1MDB telah mendapat bantuan bon sebanyak AS$3.5 bilion untuk pembelian loji tenaga daripada IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Asli.

Kesemua plaintif berkata menurut Laporan Jawatankuasa Kira- kira Wang Negara (PAC), 1MDB mendakwa telah membuat bayaran sebanyak AS$3.5 bilion kepada syarikat lain iaitu Aabar (BVI) pada 2012 dan 2014.

Bagaimanapun, mereka mendakwa kesemua defendan gagal mengambil sebarang tindakan untuk mendapatkan semula wang yang telah tersalah bayar kepada Aabar (BVI) dan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Mereka turut mendakwa pada 14 Jun 2016, IPIC dan Aabar Asli telah membawa tuntutan arbitrasi di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London terhadap 1MDB dan kerajaan berhubung wujudnya tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion atas dakwaan kegagalan 1MDB menunaikan kontrak kepada IPIC dan Aabar Asli.

Sebaliknya, plaintif mendakwa tuntutan itu merupakan jaminan bon yang diberikan IPIC bagi pinjaman 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion sedangkan jumlah itu tidak dibayar kepada Aabar Asli.

Oleh itu, mereka antara lain menuntut satu deklarasi bahawa persetujuan penyelesaian tuntutan arbitrasi di antara IPIC dan Aabar Asli terhadap kerajaan dan 1MDB di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London adalah tidak sah dan terbatal.

-- BERNAMA