Syarikat farmasi perlu membuat kajian sendiri sekiranya berhasrat untuk membawa masuk ubat-ubatan yang mengandungi dadah, termasuk ganja, ke negara ini.

Walaupun banyak kajian telah dijalankan di luar negara mengenai perkara tersebut, ia tidak boleh diguna pakai di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Katanya, kajian yang dibuat di negara luar mungkin berbeza-beza mengikut kesesuaian masing-masing.

"Apabila kita hendak import ubat, kita tidak boleh gunakan kajian yang dilakukan di luar. Ini adalah kerana dos dan persediaan ubat yang digunakan dalam kajian tersebut adalah spesifik kepada keperluan negara itu. Apabila kajian yang dibuat boleh buktikan bahawa dos dan persediaan itu adalah selamat dan berkesan, maka bolehlah syarikat farmasi itu mengimport ubat tersebut mengikut dos yang bersesuaian.

"Kalau sesebuah kajian itu merupakan isolated study (kajian terpencil), maka kajian itu tidak ada standard. Kalau kita hendak mengimport ubat, kita mesti ada standard dari segi persediaan dan dos," katanya selepas merasmikan program gotong-royong dan kesedaran denggi di Kampung Rapat Jaya Tambahan di Ipoh pada Rabu.

BACA: Thailand izinkan penggunaan ganja untuk perubatan, ibarat 'hadiah' tahun baharu

Dr Lee mengulas mengenai keputusan Thailand meluluskan dadah jenis ganja untuk penggunaan penyelidikan dan perubatan.

Keputusan itu sekaligus menjadikan Thailand sebagai negara pertama di rantau Asia, yang mempunyai undang-undang dadah paling ketat di dunia, dalam membenarkan penggunaan dadah tersebut.