Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan MYNIC Berhad sedang mengambil tindakan untuk mengatasi gangguan di laman sesawang tempatan berakhir dengan domain '.my', yang mengalami masalah sejak semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata beliau maklum tentang perkara itu pagi tadi dan berharap masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

"Maklumat lanjut selepas menerima laporan terperinci kemudian," katanya di laman Twitter hari ini.

MYNIC Berhad adalah satu-satunya penyelaras bagi semua laman sesawang tempatan di Malaysia, yang berakhir dengan '.my'.

Gobind berkata demikian selepas membalas kiriman dihantar seorang pengguna akaun Twitter dikenali sebagai '@saradalina'.

"@GobindSinghDeo YB can help with MYNIC to resolve all .com.my domains as all are down. Including http://gov.my as well. Thank you in advance YB," kata pengguna akaun Twitter itu.

Penggunaan berkenaan kemudian membalas ciapan Gobind dengan berkata dia berterima kasih atas maklumat serta tindakan segera yang diambil Gobind tentang perkara itu.

"Kami amat menghargainya. Inilah kerajaan pilihan kami, yang bertindak pantas dan bersikap responsif. Semoga dirahmati Tuhan," katanya.

Terdahulu, MYNIC Berhad melalui mengaku melalui laman Twitter tentang masalah yang dialami laman sesawang tempatan itu dan kesal dengan masalah yang dialami pelanggan.

"Kami sedang mengalami beberapa isu teknikal berkaitan rantaian DNSSEC dengan IANA. Kami sedang bekerja keras untuk menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin. Maklumt lanjut akan diberi dari semasa ke semasa," katanya.

Media melaporkan pelayan DNS, yang mengendalikan domain .my dikatakan kehilangan talian sejak semalam dan menjejaskan semua laman sesawang yang menggunakan domain .my.

-- BERNAMA