Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjelaskan kehadiran pegawainya di kediaman bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, di Tanjung Tokong, Pulau Pinang semalam bertujuan menyiasat satu insiden gangguan frekuensi.

Dalam satu kenyataan, MCMC berkata gangguan dikesan berpunca daripada sebuah telefon tanpa kabel jenama Panasonic model KX-TGA401 yang dimiliki oleh Tan dan beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"MCMC ingin menasihatkan orang ramai yang memiliki ataupun berniat untuk menggunakan model telefon yang sama agar menghubungi pejabat MCMC berhampiran bagi mengelakkan berulangnya kes-kes gangguan sedemikian yang akan menjejaskan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di kawasan yang terlibat," kata kenyataan itu.

Kenyataan MCMC itu menyusuli dakwaan yang dibuat oleh Tan menerusi laman Facebooknya semalam.

Bekas anggota Parlimen PKR yang bertindak keluar parti pada 2010 dan menjadi wakil Bebas itu memuat naik status berbunyi: "Netizens, just now from 10am to 2am I have no message or something. Just now my family told me that mcmc came to my house to find me, and I wasn't in. If next without my message, know what's going on. Political persecution."

(Netizen sekalian, bagi tempoh 10 pagi hingga 2 pagi tadi saya tidak menerima sebarang pesanan. Baru sekejap keluarga saya memaklumkan MCMC datang ke rumah mencari saya dan saya tiada di rumah. Jika selepas ini tiada mesej daripada saya, ketahuilah apa yang berlaku. Penganiayaan politik.) -- Bernama