Berang tidak dapat mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM), seorang lelaki bertindak merosakkan mesin serta membuang air besar di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail Petra, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Abdullah Roning berkata, lelaki berusia 40 tahun itu juga menarik wayar serta memecahkan siling ATM dan menarik wayar kamera litar tertutup (CCTV).

"Hasil siasatan mendapati suspek, yang turut mempunyai rekod jenayah dadah, ke bank berkenaan untuk mengeluarkan wang kira-kira jam 6.30 pagi.

"Apabila gagal mengeluarkan wang dari mesin ATM, suspek mengamuk dan buang air besar di belakang mesin tersebut," katanya.

Abdullah berkata, suspek yang berasal dari Pahang, menaiki keretapi dari Tumpat untuk balik ke tempat asalnya jam 4 petang semalam.

"Sebaik tiba di Kuala Krai, suspek turun untuk menukar kereta api, bagaimanapun disebabkan tidak cukup wang membeli tiket, bapa kepada tiga anak itu tidak dapat meneruskan perjalanan.

"Suspek kemudiannya merayau di sekitar deretan kedai sambil meminta wang daripda orang ramai," katanya.

Beliau berkata, apabila gagal meraih simpati orang ramai, suspek ke bank untuk mengeluarkan wang.

"Hasil siasatan turut mendapati suspek yang juga lulusan institusi pengajian tinggi tempatan itu turut mengambil beberapa jenis dadah serta menghadapi masalah mental.

"Suspek yang pernah mengikuti latihan asas di Pulapah diberhentikan pada tahun 2000," tambahnya.

Susulan kejadian, suspek berjaya ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 448 dan 427 Kanun Keseksaan.