Program Food Bank Siswa yang dilaksanakan di 10 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah memberi manfaat kepada kira-kira 3,740 pelajar dalam usaha meringankan beban kos sara hidup pelajar sejak ia dilancarkan pada 15 Feb lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz berkata, program berkenaan juga mendapat kerjasama daripada 40 pemilik atau pengusaha pasar raya di seluruh negara bagi menyalurkan bekalan makanan untuk pelajar.

"Program Food Bank Siswa ini merupakan kesinambungan Program Food Bank Malaysia yang dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 22 Dis tahun lepas untuk membantu pelajar daripada golongan keluarga B40.

"Kami menyasarkan sehingga hujung tahun ini, Program Food Bank Siswa akan dapat dilaksanakan di semua IPTA di negara ini dan kerajaan sememangnya prihatin dengan golongan pelajar keluarga berpendapatan rendah agar mereka lebih fokus pada pembelajaran dan menjadi pelajar cemerlang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Food Bank Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, pada Rabu.

Food Bank Siswa UTeM adalah yang ke-11 selain di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Turut hadir Naib Canselor UTeM Prof Dr Raha Abdul Rahim, Pengarah KPDNHEP Melaka Jaiya Abu dan Ketua Pegawai Eksekutif Food Bank Malaysia Ab Wahab Long.

Mengulas lanjut, Muez berkata program Food Bank Siswa dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu food pantry (pantri makanan) penyimpanan barang makanan kering di satu bilik yang sesuai untuk diagihkan manakala central kitchen yang sumbangan makanan dimasak dan diagihkan kepada pelajar yang layak menerima bantuan itu.

Beliau berkata, inisiatif berkonsepkan 'daripada pelajar kepada pelajar' itu akan diuruskan oleh persatuan pelajar universiti terlibat agar mereka dapat bersama-sama membantu golongan memerlukan dan memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar.

Dalam pada itu, katanya program Food Bank Malaysia pula telah memberi manfaat kepada 177,245 isi rumah sejak ia dilancarkan pada 22 Dis tahun lepas sehingga Mei lalu dan sebanyak 1,424 metrik tan lebihan makanan dapat dielak daripada dibazirkan.

Sementara itu, Raha berkata buat permulaan program Food Bank Siswa UTeM memberi manfaat kepada kira-kira 70 pelajar universiti itu dan jumlah tersebut dijangka meningkat daripada semasa ke semasa dan sekurang-kurangnya 200 pelajar yang layak akan menerima bantuan itu menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata pelajar yang layak akan dikenal pasti Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan program Food Bank Siswa UTeM dilaksanakan menerusi kaedah food pantry. -- Bernama