Sejak pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang bermula pada 23 September 2012, kerajaan telah membayar sejumlah RM60,122,080 sebagai fi perkhidmatan kepada dua buah syarikat penyedia perkhidmatan tersebut.

Menerusi jawapan bertulis yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan di Parlimen, kerajaan telah membayar RM27,181,584 kepada ATES Sdn Bhd dan RM32,940,496 kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Selain itu, sebanyak 2,144,921 saman telah dikeluarkan menerusi sistem tersebut sehingga 30 September 2015 atas kesalahan memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat.

Dalam soalan yang dikemukakan Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam), beliau meminta Menteri Pengangkutan untuk menyatakan berapakah jumlah saman yang dikeluarkan melalui AES.

Beliau turut meminta kementerian tersebut untuk menyatakan jumlah bayaran yang dibuat kepada dua syarikat tersebut yang menyediakan perkhidmatan AES.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan tidak menghentikan operasi AES, sebaliknya program tersebut sedang dikaji semula bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah menjelang awal tahun depan.

Menurutnya, kajian semula itu mengambil masa ekoran operasi AES yang baharu terletak di bawah kendalian Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selain memastikannya selari dengan penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).