Ahli Lembaga Pengarah Felda setuju untuk wujudkan Jawatankuasa Lembaga Siasatan Felda susulan laporan audit forensik yang dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata jawatankuasa terbabit akan meneliti daripada sudut perundangan berhubung tindakan yang bakal diambil ke atas mereka yang dinamakan dalam laporan berkenaan.

“Jawatankuasa ini akan buat siasatan ikut proses tatacara yang terbaik sebelum lantik firma undang-undang yang akan dilantik untuk bantu kerja-kerja lembaga siasatan ini.

“Tempoh kepada lembaga siasatan ialah selama 3 bulan, tetapi saya percaya ia dapat dilakukan dalam masa yang lebih pendek,” katanya dalam sidang media di Menara Felda selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Felda pada Khamis.


Beliau bagaimanapun tidak menamakan individu yang terbabit untuk disiasat tetapi memberi bayangan bahawa mereka yang terbabit daripada kalangan Ahli Lembaga Pengarah Felda serta pegawai tinggi di Felda Investment Corporation (FIC) yang menjawat jawatan pada tahun 2014.

Ditanya mengenai jenis tindakan yang bakal diambil, Shahrir memberitahu ia bergantung kepada status pegawai berkenaan.

“Kalau mereka masih menjawat jawatan, kemungkinan tindakan seperti dilucut jawatan dan juga dikurangkan gaji.

“Kalau dah bersara dan tiada kaitan lagi dengan Felda, kami akan gunakan tindakan sivil ke atas mereka,” katanya.

Jelas beliau, tindakan perundangan yang bakal diambil mungkin membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bergantung kepada keputusan siasatan Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA.