Bagi melengkapkan transformasi Felda 2.0, kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menjayakan inisiatif itu di lima tanah rancangan pada tahun ini.

Ia bertujuan merealisasikan hasrat warga Felda yang diterajui pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk pembangunan Felda yang lebih mampan dalam semua aspek pembangunan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif itu bakal memberi wajah baharu kepada 317 kawasan tanah rancangan Felda di negara ini.

Felda Lurah Bilut telah dipilih sebagai tanah rancangan Felda pertama menjalankan projek perintis bagi mewujudkan komuniti yang pintar dan berdaya saing, termasuk melestarikan alam sekitar.

Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai peranan Felda dan mengutamakan peneroka dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini seiring dengan perkembangan Felda yang bermula sejak 60 tahun lalu.



"Dan untuk saya menyokong konsep Felda 2.0 ini, Shahrir tanya, sama ada kerajaan boleh bantu. InsyaAllah akan bantu menambah peruntukan, membolehkan projek ini dijalankan secara menyeluruh.

"Jadi, kalau Shahrir hendak RM50 juta, hari ini InsyaAllah, diluluskan RM50 juta tahun ini. Buatlah projek ini.

"Janji, pastikan bahawa kuota ‘Feed-in-Tariff ini, InsyaAllah keuntungannya boleh kita beri balik kepada komuniti Felda," kata Najib.

Beliau merujuk kepada kesediaan kerajaan Barisan Nasional meluluskan kuota ‘Feed-in-Tariff’ tenaga solar dengan jumlah keseluruhan 80 Megawatt bagi 16 rancangan Felda pada 2018 dan 2019.

Pada November tahun lepas, Felda Lurah Bilut turut diiktiraf sebagai tanah rancangan pertama menjadi bandar pintar menerusi projek Lembah Digital Bilut.

Bagi tahun ini, sebanyak 15 tanah rancangan Felda akan dipilih untuk ditransformasikan menerusi inisiatif itu dan 10 lagi tanah rancangan akan dipilih bagi tahun depan.

Untuk tujuan itu juga, Felda memperuntukkan RM10 juta bagi mentransformasi setiap tanah rancangan yang dipilih, serta turut menarik penyertaan pelbagai agensi lain termasuk agensi swasta.

Ia dijangka bakal memberi manfaat kepada lebih 60,000 penduduk Felda Lurah Bilut yang akan menikmati taraf kehidupan sama seperti di bandar, bermula dengan pembangunan infrastruktur serta modal insan.

Projek itu juga membolehkan penduduk menggunakan Internet berkelajuan tinggi, iaitu sehingga sehingga 100 Megabait sesaat.

Ia sekali gus membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden serta eko-pelancongan kepada penduduk setempat.

Terdahulu, Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat projek infrastruktur yang telah dinaik taraf dan dibangunkan di tanah rancangan itu iaitu Kedai D' Mart, Titian Razak, Ruang Kerja Bersama serta Mural Gergasi.

Beliau turut menyerahkan replika cek Insentif Peneroka Sifar Hutang Pembangunan dan Tanam Semula berjumlah RM47.17 juta yang yang merupakan satu insentif membantu peneroka.