Fasa kedua Bantuan Bakul Makanan kepada 55,000 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta bermula hari ini.

Bantuan Bakul Makanan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu bermula serentak di tiga lokasi di dua negeri dipilih iaitu Pahang di Sungai Ruil membabitkan 266 ketua isi rumah Orang Asli manakala di Selangor masing-masing, di Pulau Indah (84 ketua isi rumah) dan Bukit Tadom (132 ketua isi rumah).

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, bantuan fasa kedua itu kesinambungan daripada fasa pertama dengan tambahan kepada keluarga yang berpindah-randah dan tinggal di kampung tambahan.

“Bantuan kali kedua ini, kita hendak pastikan tidak ada orang yang tercicir. Dalam masyarakat Orang Asli ini memang kebiasaan terdapat dua atau tiga keluarga duduk satu rumah.

“Sebab itulah kita hendak pastikan penyampaian ini betul-betul sampai,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan bakul makanan pada wakil masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Ruil, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang juga Ahli Parlimen pertama daripada kaum Orang Asli.

Nilai barangan dalam setiap bakul yang diberikan kepada setiap ketua isi rumah adalah RM100 dan turut ditambah dengan kit kebersihan seperti antiseptik, penutup hidung dan mulut, sabun berubat dan susu tepung untuk kanak-kanak.

Dr Abd Latiff berkata, cara agihan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melalui Tok Batin atau penghulu setiap kampung dan turut dipantau pegawai Jakoa Daerah bagi memastikan bantuan itu sampai kepada setiap ketua isi rumah yang berkenaan.

“Kita harap pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban masyarakat Orang Asli yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) ini,” katanya.

Malah, beliau turut berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan menyalurkan maklumat berhubung ketua isi rumah Orang Asli yang masih tidak menerima bantuan itu semasa fasa pertama.

KPLB melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan itu sejak berkuatkuasanya PKP pada 18 Mac lepas melalui Jakoa.

Untuk bantuan fasa pertama, Jakoa mengagihkan bantuan kepada 49,670 ketua isi rumah di 853 perkampungan Orang Asli di seluruh negara membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Agihan itu meliputi 725 kampung dan telah memberi manfaat kepada 34,567 ketua isi rumah.

Sementara itu, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyampaikan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat Orang Asli di Pulau Indah manakala Timbalan Menteri II, Datuk Henry Sum Agong menyampaikan bantuan itu di Bukit Tadom. - BERNAMA