Selepas sebulan meringkuk di penjara, pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu membenarkan penangguhan hukuman penjara selama sembilan bulan yang dikenakan terhadap pelakon dan pengarah itu selepas mengaku bersalah atas tuduhan penyalahgunaan dadah pada Mei lalu.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mensabitkan pelakon Lagenda Budak Setan itu dengan kesalahan penyalahgunaan dadah itu selepas beliau memilih untuk berdiam diri pada hari pertama perbicaraan kes itu yang memasuki peringkat bela diri.


Ekoran tindakan suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu menyebabkan mahkamah terpaksa membuat keputusan berdasarkan keterangan saksi dan bukti di peringkat pendakwaan.

Portal berita Utusan Malaysia melaporkan, selain hukuman penjara sembilan bulan yang diarahkan berkuat kuasa pada hari sama, Majistret Nor Ariffin Hisham turut meletakkan pelakon itu bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan, Farid Kamil itu didapati telah menggunakan dadah jenis THC atau 11-nor-delta-9-etrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Pendakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

BACA: 'Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan...' - Sayu doa Fadzil Zahari buat abang