Isu cukai jualan petroleum melibatkan kerajaan negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akhirnya selesai.

Ia selepas Petronas akhirnya bersetuju membayar penuh cukai jualan dikenakan ke atas produk petroleum bagi tahun 2019 berjumlah RM2 bilion iaitu pada kadar 5 peratus daripada nilai jualan produk tersebut kepada kerajaan negeri Sarawak.

Persetujuan kedua-dua pihak ini turut menyaksikan beberapa perkara utama melibatkan ‘konflik’ kedua-dua pihak berjaya dicapai seterusnya dipersetujui. Antaranya:

  1. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Cukai Jualan Negeri dikenakan pada kadar lebih rendah secara bertempoh berdasarkan rundingan yang akan diadakan kelak.
  2. Kerajaan negeri juga bersetuju SST terhad ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Order 2018.
  3. Petronas juga menarik semula rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching mengenai permohonan semakan kehakiman 13 Mac lepas.
  4. Kerajaan Sarawak mengugurkan kesemua tuntutan dalam kes sivil terhadap Petronas bagi bayaran SST ke atas produk petroleum.
  5. Persetujuan menerima respon baik daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata penyelesaian ini sebagai pendekatan yang mampan dari segi ekonomi, kewangan dan sosial negara pada jangka panjang.
  6. Tambah Muhyiddin, penyelesaian ini juga selari dengan dasar utama kerajaan, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama.
  7. Bagi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pula dengan penyelesaian ini suasana perniagaaan dan pelaburan lebih stabil dapat diwujudkan bagi memacu industri berkenaan di Sarawak.
Sebelum isu ini diselesaikan pada Jumaat, kedua-dua pihak telah beberapa kali cuba menyelesaikan perkara ini di mahkamah dan antara yang paling signifikan adalah pada 17 Mac lalu.

Tarikh ini menyaksikan kerajaan negeri Sarawak tampil menggesa Petronas supaya tidak melengahkan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum negeri itu.

Ini kerana pada 13 Mac, Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Petronas berhubung hak Kerajaan Sarawak dalam mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak 5 peratus terhadap hasil minyak dan gas yang dieksport dari negeri itu.

Biarpun ‘kemelut’ di antara dua pihak ini selesai, ia tidak akan mengubah peranan Petronas sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini, selaras dengan perlembagaan Persekutuan.