Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan memulakan jadual perkhidmatan terhad mulai Isnin ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat untuk membenarkan kebanyakan perniagaan kembali dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa (PKP) 4.

ERL dalam kenyataan pada Jumaat berkata ia juga akan menggabungkan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, dari 6 pagi hingga 11 malam setiap hari.

"Tren akan beroperasi dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak pada hari kerja dan setiap 30 minit pada luar waktu puncak, hujung minggu dan cuti umum negara.

"Pada bulan Ramadan, waktu puncak petang akan diselaraskan pada jam 4 petang hingga 6 petang untuk memberi lebih banyak masa kepada orang ramai pulang dengan selamat untuk berbuka puasa dan tiada perkhidmatan tren sebelum 6 pagi dan selepas tren terakhir berlepas pada 11 malam," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyatakan waktu perjalanan antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah 35 minit (KLIA2: 39 minit) dan di KL Sentral, semua pelepasan dan ketibaan akan melalui Stesen Transit KLIA.

Sementara itu, jadual perkhidmatan terhad itu akan berkuatkuasa selama sebulan dan ia akan dikaji semula dan diselaraskan sekiranya perlu untuk memenuhi pertambahan bilangan penumpang, kata ERL.

"Jadual baharu itu akan diterbitkan lima hari sebelum dikuatkuasakan, selepas berunding dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

ERL sebelum ini telah menghentikan perkhidmatannya pada 4 April lalu selepas berunding dengan pihak berkuasa berkaitan selepas merekodkan bilangan penumpang yang sangat rendah semasa Fasa 1 PKP dari 18 hingga 31 Mac.

Menurut kenyataan itu, ERL mengamalkan langkah keselamatan perjalanan semasa pelaksanaan PKP termasuk menasihatkan penumpang memakai penutup hidung dan mulut ketika menaiki tren dan menggalakkan mereka menggunakan sistem tanpa tunai untuk pembelian tiket.

Syarikat itu juga berkata jadual penuh tren dan kemas kini mengenai langkah berjaga-jaga, penumpang boleh layari www.KLIAekspres.com atau KLIA Ekspres Facebook.

Untuk pertanyaan berhubung pemulangan semula bayaran dan bantuan lebih lanjut, penumpang boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8:30 pagi - 6 petang waktu tempatan), menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA